TEMERLOH – Pahang yang telah lama bersedia melaksanakan gelembung pelancongan melahirkan rasa kecewa apabila hanya Pulau Langkawi dibenarkan melaksanakan projek rintis pelancongan bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, beberapa lokasi pelancongan negeri telah bersiap sedia sepenuhnya melaksanakan gelembung pelancongan domestik termasuk mencapai imuniti kelompok.
“Apabila kerajaan memutuskan melaksanakan program gelembung pelancongan domestik, ia
sebenarnya memberi kelegaan dan sinar baharu buat penggiat industri pelancongan yang telah lama terjejas susulan penutupan keseluruhan rantaian sektor pelancongan akibat penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
“Namun setelah segala perancangan dibuat termasuk mencapai imuniti kelompok, hanya Pulau Langkawi dibenarkan terlebih dahulu dan ia pasti sedikit mengecewakan penggiat sektor berkenaan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd Sharkar, banyak lokasi pelancongan di negeri Pahang telah pun bersedia untuk kembali menerima kehadiran pelancong seperti Bukit Fraser dan Pulau Tioman yang telah mencapai imuniti kelompok.
Selain itu katanya, lokasi pelancongan lain seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Taman Negara Kuala Tahan dan Taman Negeri yang lain termasuk Genting Highland dan Cameron Highlands juga bersedia kembali beroperasi. -K! ONLINE