JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang baharu beroperasi lebih sebulan lalu dengan kejayaan menangkap 10 ahli dalam satu operasi di sekitar Iskandar Puteri dan bandar raya ini kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang dijalankan bermula pukul 1.45 petang itu melibatkan tujuh serbuan berasingan.
Menurutnya, suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 20 hingga 34 tahun.
“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama sejumlah dadah, sebelum enam serbuan susulan dibuat dan menangkap sembilan lagi suspek lain.
“Polis bagaimanapun masih memburu empat lagi individu yang telah dikenal pasti termasuk seorang ketua mereka yang masih bebas.
“Dalam siri serbuan itu, polis turut merampas 25.2 kilogram (kg) heroin dan 14 kg serbuk ekstasi yang kesemuanya bernilai RM1.03 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 172,666 orang penagih.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa kediaman mewah di kawasan yang berpagar dan berpengawal untuk dijadikan sebagai stor dan makmal memproses dadah.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini menghantar dadah yang dihasilkan untuk kegunaan pasaran tempatan dan juga luar negara, khususnya negara jiran,” ujarnya.
Ayob Khan turut memberitahu, pihaknya turut merampas beberapa bahan kimia, peralatan memproses dadah, empat buah kenderaan dan tiga barangan kemas yang bernilai keseluruhan RM194,000. -K! ONLINE