PETALING JAYA – Gara-gara bergaduh ketika sambutan ulang tahun perkahwinan ke-14 pada 10 Ogos lalu, Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya Datin Seri Nur Shahida meraikan hari bersejarah mereka sekali lagi di Langkawi, Kedah semalam.
Percutian mereka ke pulau tersebut dikongsikan isteri jutawan dan juga penyanyi itu menerusi Instagram dengan berkongsi momen romantik berdua-duaan sambil menikmati makan malam di tepi Pantai Chenang.
“Tahun ini ‘anniversary’ kami yang ke-14 pada 10 Ogos lalu. Ketika itu kami bergaduh, jadi kami tak sambut. Masing-masing buat tak tahu. Jadi konon-konon kita ‘feeling’ sambut ulang tahun perkahwinan di sini,” tulisnya.
Bagaimanapun, keterujaan pasangan itu menikmati percutian di sana mengundang kecaman ramai gara-gara tindakan Aliff yang dilihat kerap tidak memakai topeng muka dengan betul atau sekadar meletakkannya di dagu.
Ramai netizen berkata, perbuatan ahli perniagaan itu boleh memberi contoh tidak baik kepada orang lain.
“Aliff Syukri ni suka sangat turunkan mask, bila tempat ada ramai orang mesti dia buka. Nak juga orang nampak dia Aliff Syukri. Tak payah buka mask pun orang dah tahu,” kata seorang netizen.
“Datuk janganlah buat ‘spoil’. Jagalah SOP (prosedur operasi standard). PDRM dan netizen memerhati,” kata seorang lagi pengguna lain.
Memahami kegusaran pengikutnya, usahawan sensasi itu memberi balasan positif dan akan mengingati pesanan ramai.
Dalam pada itu, Aliff turut memberitahu keberadaan mereka di sana juga adalah untuk menyelesaikan beberapa urusan tanpa disertai anak-anak sekali gus mengambil kesempatan berbulan madu.
“Pertama kali ke Langkawi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sudah lama tak naik kapal terbang. Hari ini saya ke Langkawi atas beberapa urusan dan ‘honeymoon’,” katanya.
Kebahagiaan pasangan tersebut membuatkan ramai pengikut termasuk rakan selebriti mendoakan perkahwinan mereka berkekalan sehingga ke anak cucu selain ada yang mengagumi keutuhan ikatan hubungan suami isteri itu.
Seperti pengunjung bertuah lain yang berpeluang ‘terbang’ ke Langkawi sebaik pintu pulau peranginan itu dibuka semalam, pasangan itu turut berkongsi detik menggembirakan percutian mereka yang turut disertai ibu bapa Shahida.
Antara tempat yang dikunjungi mereka termasuklah lokasi utama tumpuan pelancong seperti Geopark, menaiki CabelCab serta singgah di tempat makan popular, Nasi Dagang Pak Malau.
Di sebalik kegembiraan berkongsi momen istimewa di laman sosialnya, ada yang mempersoalkan tujuan kedatangan pasangan itu ke pulau peranginan tersebut disebabkan sebelumnya Shahida menyatakan atas urusan bisnes.
Begitupun, ada yang membalas kemusykilan diluahkan dengan menyatakan tidak salah pasangan tersebut datang bercuti memandangkan pulau berkenaan sudah dibuka secara rasmi untuk orang luar.
Sekadar info, menerusi perkahwinan yang dibina pada Ogos 2007, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi Dan Raudhah Aryshiyah. – K! ONLINE