fbpx

Lawatan Agong, Permaisuri ke UK lambang hubungan erat peringkat tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke United Kingdom bermula hari ini hingga 27 September depan.

Kementerian Luar  dalam satu kenyataan berkata, lawatan khas itu melambangkan kepentingan hubungan erat di antara Malaysia dan United Kingdom dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara secara keseluruhannya.

“Selain itu, lawatan ini turut menzahirkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia serta prestasi pelaburan dan kepentingan negara di United Kingdom.

“Ini agar aspek tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik terutamanya semasa pandemik yang mencabar ini,” katanya di sini hari ini.

Kementerian Luar memaklumkan, menerusi lawatan khas itu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan untuk melawat Battersea Power Station iaitu sebuah projek ikonik Malaysia di London yang merupakan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Kenyataan itu turut memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan untuk melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 24 September ini bagi sesi pertemuan dengan rakyat Malaysia terdiri dari golongan usahawan, ahli akademik, pelajar serta ketua komuniti

Kata kenyataan itu lagi, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) pada 25 September depan.

“TARRC ialah sebuah syarikat milik penuh Lembaga Getah Malaysia dan salah sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) getah terkemuka dunia,” katanya.

Menerusi lawatan khas itu juga, Al-Sultan Abdullah juga berkenan menerima kunjungan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, Sir General Nicholas Carter.

Pertemuan empat mata itu akan menyentuh hubungan kerjasama pertahanan Malaysia dan United Kingdom. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI