PETALING JAYA – Selepas tiga kali mengalami keguguran, kali terakhir pada April lalu, pelakon dan usahawan Syatilla Melvin kini disahkan hamil anak ketiga.
Perkara tersebut diumumkan suaminya, aktor Shaheizy Sam, 39, menerusi Instagramnya malam tadi.
Menurut pelakon filem Polis Evo itu, isterinya kini hamil tiga minggu dan dijangka bersalin sekitar Mei tahun depan.
“Produk terbaharu akan datang. Setelah R&D (penyelidikan dan pembangunan) selama lebih tiga minggu dijangka bakal dilancarkan bulan lima tahun depan,” tulis pemilik nama sebenar, Shaheizy Sam Abdul Samad itu secara berseloroh.
Dalam muat naik Instagramnya itu, Sam turut menunjukkan kit ujian kehamilan.
Pengumuman lucu tersebut disambut baik oleh peminat dan rakan artis yang rata-rata menitipkan ucapan tahniah kepada pasangan tersebut.
Dalam hantaran berbeza yang dimuat naik Syatilla menerusi Instagramnya, wanita itu bersyukur kerana kerana berpeluang hamil lagi untuk kali keenam.
“Baru plan nak pakai IUD, tau tak. Rezeki Allah nak bagi. Hari-hari duk minta Allah murahkan rezeki, murah sungguh-sungguh Allah bagi.
“Doakan kandungan bertahan sampai cukup-cukup sembilan,” tulisnya dengan menyertakan tanda pagar #suamirajin.
Sebelum ini Syatilla, 30, yang popular dengan drama Sha & Shah itu berkongsi khabar duka apabila mengalami keguguran ketika kandungan berusia lapan minggu pada April lalu.
Menurut Syatilla atau nama sebenarnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, kejadian tersebut merupakan keguguran kali ketiganya.
Kali pertama sebelum hamil anak sulung dan kali kedua sebelum mengandungkan anak kedua.
Terdahulu, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016 itu dikurniakan dua cahaya mata, Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy, 2. – K! ONLINE