SEBUT sahaja nama Bunkface, satu perkara yang terlintas dalam fikiran ialah muzik yang diperjuangkan mereka, ‘rock punk’.
Muzik yang dibawa mereka mempunyai kelompok peminat sendiri. Tidaklah mengatasi semua kumpulan muzik legenda sedia ada tetapi setidak-tidaknya mampu memahat nama dalam industri seni tanah air sehingga hari ini.
Bagi Bunkface, menjaga peminat dan muzik yang dibawa merupakan antara faktor mereka masih kekal bertahan sehingga kini.
Akui Sam yang merupakan vokalis Bunkface, perjalanan mereka untuk berada di posisi sekarang tidak semudah yang disangka.
“Walaupun sudah lebih 10 tahun bergelumang dalam onak duri dunia hiburan, namun itu bukan tiket untuk kami berasa selesa.
“Membina nama sudah cukup sukar tetapi untuk mengekalkannya dalam satu tempoh yang panjang lebih mencabar,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tutur pemilik nama lengkap Shamsul Annuar Mohd Baharom, Bunkface sangat menitikberatkan muzik yang hendak dibawa dan tidak memandang enteng keinginan peminat.
Jaga peminat, muzik
“Peminat kami sentiasa dahagakan sesuatu yang hebat. Jadi, untuk memastikan mereka kekal bersama kami, muzik yang dihasilkan perlu mengikut apa yang mereka mahukan.
“Ini antara satu perkara yang perlu kami lakukan bagi memastikan jenama Bunkface tidak luput dari ingatan ramai,” kata vokalis berusia 33 tahun itu.
Bagi memenuhi kehendak pendengar, karya yang dihasilkan haruslah sesuatu yang bagus dan dicipta daripada hati yang jujur.
“Inilah taktik kami selama ini, iaitu jaga jiwa peminat secara habis-habisan selain menjadi penggiat seni yang jujur ketika berkarya,” kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.
Berbicara mengenai persaingan dalam industri, Ahmad Farhan atau lebih mesra disapa sebagai Paan pula mengakui Bunkface turut merasai tempiasnya.
“Industri sekarang semakin meriah dan saingan juga bertambah seperti kemunculan ramai artis baharu dalam media sosial.
“Namun, semakin sukar perjalanan, perkara tersebut mengajar kami untuk memotivasikan diri mengeluarkan produk yang lebih berkualiti,” ujar gitaris Bunkface itu.
Kerjasama bersama Bliese
Berkongsi lanjut mengenai buah tangan baharu, gitaris kedua, Youq memberitahu Bunkface kini muncul dengan single baharu yang dihasilkan sempena sambutan ulang tahun kedua jenama wangian Bliese.
Lagu berjudul Sentiasa Bersamamu merupakan ciptaan Bunkface sepenuhnya dan merupakan hasil kerjasama mereka dengan syarikat produk wangian terkenal tersebut.
Menurut Youq, Sentiasa Bersamamu dihasilkan sekitar awal tahun ini dan video muzik juga telah dirakam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lalu.
“Karya istimewa ini berkisarkan perjalanan lebih 9,000 usahawan yang selama ini bertungkus-lumus menjual produk Bliese sebagai sumber pendapatan.
“Jadi, Sentiasa Bersamamu memberi gambaran lebih dekat bahawa Bliese sentiasa ada dengan ejen dan stokis mereka pada waktu susah atau senang,” tuturnya.
Tambah Youq, Bunkface sangat kagum dengan kegigihan barisan stokis dan ejen yang sentiasa berusaha menjual produk Bliese sehingga hari ini.
“Sejujurnya kami sangat teruja menghasilkan naskhah istimewa ini.
“Mungkin usaha ini nampak kecil tetapi jiwa dan semangat yang diletakkan dalam lagu ini sangat besar.
“Menerusi lagu ini juga, kami tujukan buat mereka yang tidak pernah kenal erti penat untuk memajukan diri selama ini.
“Harap lagu ini dapat menyebarkan semangat buat stokis dan ejen Bliese di luar sana untuk terus berusaha mempromosikan jenama ini,” ujarnya seraya menutup bicara.