Segala puji-pujian dihamburkan terhadap langkah kerajaan dan Pakatan Harapan yang bersepakat menjalin memorandum persefahaman (MoU) pada 13 September lalu.
Namun, mampukah MoU transformasi dan kestabilan politik yang ditandatangani pemimpin kerajaan dan gabungan parti pembangkang itu bertahan?
Apakah gencatan politik itu dapat berlangsung sekurang-kurangnya sehingga 31 Julai 2022 dengan mengambil kira persetujuan Parlimen tidak akan terbubar sehingga tempoh itu?
Lebih-lebih lagi, ada sebilangan pemimpin dan ahli politik secara terang-terang menolak, membantah dan enggan merestuinya.
Itu persoalan yang berlegar dalam kalangan rakyat yang tahu dan jelas dengan perjalanan politik tanah air sejak 9 Mei 2018.
Sepanjang tempoh itu, sudah dua kali Kerajaan Persekutuan bertukar pimpinan dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadam.
Rakyat melihat di depan mata betapa mudahnya sebilangan ahli politik menjadi sesumpah yang berubah sekelip mata.
Dalam tempoh singkat ‘bertukar pasangan politik’ dan kawan jadi lawan, lawan jadi kawan dengan segala kata-kata taat setia sehingga mengelirukan rakyat.
Paling membosankan, setiap kali itu jugalah rakyat dijadikan perisai dan alasan bagi menjustifikasikan agenda politik kendiri.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff mengakui MoU berkenaan bukan jaminan bahawa kemelut politik tidak akan berulang.
Bagaimanapun katanya, MoU itu walau tidak kuat mengikat kedua-dua pihak menunjukkan keazaman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan kestabilan politik tanah air.
“Banyak kemungkinan boleh berlaku sama ada kerjasama ini dapat bertahan lama. Namun perlu ingat, ramai menyokongnya. Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kegembiraan baginda.
“Jadi saya fikir mana-mana pihak yang cuba mengendurkan atau menggagalkan persefahaman ini perlu berfikir banyak kali sebelum berbuat demikian. Mereka akan dihukum rakyat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Namun demikian, katanya, pembentukan Jawatankuasa Pemandu MoU tersebut yang akan kerap bertemu dan berbincang mungkin dapat memastikan kerjasama kestabilan politik untuk tempoh masa yang dikehendaki.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian baru-baru ini turut berpandangan, kerjasama rentas parti politik oleh Perdana Menteri perlu disambut baik semua pihak tanpa sebarang syarat.
“Ini adalah seperti titah Yang di-Pertuan Agong yang harus dihormati. Ini adalah sebuah tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.
Berdasarkan pandangan dan pendapat terbabit dapat dirumuskan MoU merangkumi enam perkara yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu akan menjadi ujian terbesar kematangan politik tanah air.
Jika ia dapat bertahan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 bermaksud senario politik Malaysia telah benar-benar berubah dan maju.
Andai gagal bertahan lama, ia bukti politik Malaysia masih di takuk lama iaitu kuasa dan kedudukan masih menjadi wawasan utama.
Maka, jawapan kepada persoalan sama ada MoU transformasi dan kestabilan politik itu menggambar citra politik masa kini, hanya masa yang menentukan.-K! ONLINE