KOTA BHARU – Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menerima aduan bahawa peningkatan harga ayam ketika ini disebabkan oleh peningkatan harga dedak yang dijual di pasaran negara.
Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, pemeriksaan pihaknya terhadap peniaga, pemborong, pembekal dan penternak ayam memberi alasan bahawa pengedar dedak telah menaikkan harga pasaran bahan mentah itu.
Menurutnya, PPIK menerima banyak aduan daripada peniaga, pemborong, pembekal dan penternak ayam apabila mereka terpaksa membeli dedak pada harga yang tinggi ketika ini.
“Sehubungan dengan itu, saya memohon kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyiasat mengenai dakwaan golongan yang terlibat dalam industri ternakan ayam.
“Sekiranya dakwaan ini benar, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kerana ia membebankan pengguna terutama di musim Covid-19 ketika ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Fared, kerajaan perlu melakukan tindakan segera dalam usaha menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam kerana ia telah menjadi isu pengguna di seluruh negara.
Ujarnya, selain itu, kenaikan harga dedak ayam juga tidak setara dengan harga pasaran ayam mentah yang dijual di pasaran ketika ini.
“Kita dapat lihat apabila perbezaan harga ayam di pasar raya besar, pasar raya, pasar basah awam dan peruncit di tepi jalan. Harga yang ditawarkan di semua premis itu tidak sama.
“Oleh itu, saya mencadangkan supaya kerajaan menetapkan harga siling untuk ayam mentah seperti kawalan harga pada musim perayaan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929