PENAMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat mangsa tanah runtuh di Kampung Madsiang sebentar tadi.
Meluang masa kira-kira 10 minit, Ismail Sabri tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 2.21 petang dengan diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menaiki kenderaan khas.
Meninjau sekitar lokasi kejadian, Perdana Menteri turut bertanya khabar keluarga terlibat tanah runtuh serta menyampaikan sumbangan.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Doraly John, 36, berkata dia berterima kasih dan terharu dengan kedatangan Perdana Menteri yang sudi meluangkan masa bertanya khabar mereka sekeluarga.
“Perdana Menteri memaklumkan bakal membina semula kediaman kami bagi menggantikan rumah yang sudah ranap akibat tanah runtuh.
“Saya sendiri tidak menyangka seorang pemimpin utama negara sanggup datang dan menghulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Dalam pada itu, menceritakan semula situasi cemas yang berlaku ke atas keluarganya, Doraly memaklumkan dia baru tiba di rumah selepas keluar ke pekan Donggongon manakala isteri serta empat anaknya yang berusia antara empat sehingga 14 tahun memang berada di rumah.
“Kejadian berlaku terlalu cepat sekitar satu sehingga dua minit selepas saya sampai di rumah. Hujan memang lebat dan tanah menghempap rumah kami dalam sekelip mata.
“Susulan kejadian itu, saya mengalami kecederaan dari paras pinggang hingga kaki ekoran ditimpa dinding konkrit ketika menyelamatkan anak-anak,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929