Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Sebanyak sembilan kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini termasuk daripada kluster baharu iaitu Kluster Maju di Titiwangsa, Kuala Lumpur menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,249 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, lima kes adalah penularan tempatan manakala empat lagi kes import mendapat jangkitan di luar negara.
Menurutnya, kes penularan tempatan tersebut membabitkan satu kes Kluster Maju, tiga kes Kluster Tawar dan satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal.
“Kluster baharu dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur yang mana dua kes pertama kluster membabitkan pekerja restoran dilaporkan pada 16 Ogos.
“Mereka dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, saringan kontak rapat telah dijalankan dan kes baharu kluster ini merupakan pelanggan restoran tersebut.
Katanya, dia mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Noor Hisham berkata, bagi Kluster Tawar di Kedah, tiga kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster tersebut sebanyak 58 kes.
Jelas beliau, satu lagi kes penularan tempatan membabitkan warga asing iaitu kes saringan sebelum pulang ke negara asal yang mana dia tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.
Tambah beliau untuk empat kes import pula adalah dari negara Filipina, Austria, Indonesia dan India. -K! ONLINE