fbpx

Maqis rampas 63kg daun limau purut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekalan daun limau purut dari Thailand yang dirampas Maqis di Bukit Kayu Hitam semalam.

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk 63 kilogram daun limau purut tanpa dokumen sah dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini semalam.

Pengarahnya, P. Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan rutin ke atas sebuah lori kira-kira pukul 5 petang menemui bekalan daun limau purut bernilai RM315 yang cuba dibawa masuk tanpa Permit Import Maqis dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa Permit Import sah adalah satu kesalahan di bawah Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Hukuman bagi kesalahan itu adalah denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bekalan daun limau purut itu dipercayai bagi menampung permintaan daripada peniaga di seluruh negara ini.

Tambahnya, pihaknya sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI