PETALING JAYA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sebelum ini hampir ‘mati’ kini kembali meriah dengan kehadiran pelancong yang mahu bercuti ke Langkawi.
Ia susulan pengumuman kerajaan sebelum ini yang membenarkan pelancong ke pulau bebas cukai itu melalui program perintis ‘travel bubble’ atau gelembung pelancongan.
Menerusi perkongsian beberapa keping gambar di laman Twitter @KKMPutrajaya hari ini, kelihatan lapangan terbang itu kini mula dipenuhi orang ramai dan pada masa sama ujian swab juga turut dilakukan kepada pelancong yang ingin bercuti.
Bagaimanapun kata @KKMPutrajaya, hanya pelancong yang negatif sahaja dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Petugas-petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) membantu pelancong ke Langkawi membuat ujian pengesanan #Covid-19 di KLIA.
“Hanya mereka yang mendapat keputusan negatif dibenar meneruskan perjalanan ke pulau itu. Selain KLIA, KKM juga membuat persediaan di KLIA2, LTSAAS Subang dan terminal feri,” ciapnya hari ini.
Tambah @KKMPutrajaya, setiap pelancong ke Langkawi wajib membuat ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna Twitter meninggalkan pelbagai reaksi dan komen tentang prosedur operasi standard (SOP) terbaharu pelancongan yang ingin ke Langkawi.
“Swab test buat kat airport ke? Kalau beli kit Covid di Watson ‘okay’ je kan?,” soal @amrshwn pada ciapan balas.
Pada masa sama, pengguna Twitter berharap agar KKM berkongsi data pengesanan kes positif dari program gelembung pelancongan selepas ini.
“Mohon data pengesanan kes positif dari gelembung perjalanan ke Langkawi dikongsi bersama rakyat Malaysia,”ciap @szeyoung_su. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929