Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas makanan berasaskan babi dari Singapura di Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini hari ini.
Pengarahnya, Nur Afifah A. Rahman berkata, perkara itu terbongkar apabila pihaknya membuat pemeriksaan ke atas dua kotak yang dibawa masuk melalui kiriman mel pada pukul 3.30 petang.
Menurutnya, pihaknya percaya produk berkenaan dibawa masuk ke negara ini untuk kegunaan peribadi.
“Hasil pemeriksaan menemui enam tin produk babi dimuatkan dalam dua kotak berasingan bersama dengan barangan dagangan lain.
“Produk babi tersebut di bawa masuk tanpa permit import dikeluarkan oleh Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Nur Afifah, tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging babi dan produk babi dari luar negara adalah bagi menghalang risiko virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini.-K! ONLINE.