SEREMBAN – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menjangkakan kira-kira 27 tan janaan sisa pepejal dilupuskan dari kawasan tumpuan pelancong di negeri ini sepanjang bulan September ini.
Pengarahnya, Mohd. Zahir Shari berkata, jangkaan tersebut boleh meningkat kira-kira 2.5 peratus lagi sekiranya negeri ini beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.
“Kami menjangkakan pada bulan September ini, sebanyak 27 tan janaan sisa pepejal terutama dari pantai peranginan negara. Ini disebabkan penambahan sisa pepejal dari pengunjung yang semakin ramai di kawasan tumpuan pelancong seperti di Port Dickson.
“Apa yang penting kami mahu memberi kesedaran kepada pengunjung agar dapat membuang sampah di tong sampah yang disediakan dan cuba mengurangkan janaan sisa pepejal.
“Di Port Dickson ia bukan sahaja ada kutipan sisa pepejal tetapi terdapat juga sampah hanyut di kawasan pantai yang turut dikutip oleh pihak syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environmen),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Taman My Inspirasiku di Taman Mulia Legenda Suria, Pajam, Nilai dekat sini hari ini.
Yang hadir Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.
Sementara itu, jelas, Mohd. zahir, bagi laluan kutipan sampah di pantai-pantai di Port Dickson, purata janaan sisa bagi bulan Jun, Julai dan Ogos tahun ini adalah sebanyak 24.5 tan.
“Bagi bulan Julai, janaan sisa adalah sebanyak 23.73 tan manakala Ogos mencatatkan janaan sisa sebanyak 26.61. Berlaku pertambahan sebanyak 2.88 tan atau 12 peratus.
“Kami menjangkakan pada bulan ini sisa yang dihasilkan di kawasan pantai peranginan boleh meningkat sebanyak 10 peratus berdasarkan purata peningkatan sisa yang dihasilkan antara bulan Julai dan Ogos,” katanya lagi.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929