KUANTAN – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pahang berjaya mematahkan cubaan membawa masuk serpihan kayu ‘wood flakes’ seberat kira-kira 1,008 kilogram di Pelabuhan Kuantan di sini semalam.
Menurut kenyataan Maqis, serpihan kayu yang dimuatkan di dalam sebuah kontena diimport dari negara China telah ditahan oleh penguat kuasa Maqis ketika pemeriksaan rutin dijalankan.
“Barang dagangan dianggarkan bernilai RM2,161.33 itu disita kerana gagal mematuhi syarat import iaitu gagal mengemukakan sijil fitosanitasi kepada pegawai pemeriksa seperti yang dinyatakan di dalam Permit Import yang diluluskan oleh pihak Maqis.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 15(2),”kata kenyataan itu.
Jelasnya, mengikut akta sama, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu katanya, Maqis akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929