fbpx

Kanak-kanak 11 tahun ambil vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH NUR SYASYA, antara penerima vaksin Covid-19 termuda di Negeri Sembilan selesai menerima suntikan dos pertama Pfizer semalam.

SEREMBAN – Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Sharifah Nur Syasya Syed Saiful yang menghidap penyakit diabetis merupakan antara penerima vaksin Covid-19 termuda di Negeri Sembilan.

Kanak-kanak tersebut selesai menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pembantu Perubatan), Seremban di sini semalam.

Ibunya, Nur Hamizah Md. Zin, 34, berkata, anak sulungnya itu dinasihatkan oleh pihak doktor untuk divaksin kerana dia dikategorikan sebagai golongan berisiko.

“Anak saya (Sharifah Nur Syasya) menghidap penyakit diabetis tahap satu sejak enam tahun lalu.

“Semalam pihak Hospital Tuanku Ja’afar Seremban maklumkan anak saya disenaraikan sebagai penerima vaksin Covid-19 dan perlu disuntik hari yang sama,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nur Hamizah, Sharifah Nur Syasya yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sri Sendayan di sini begitu bersemangat dan teruja untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

“Sebagai ibu bapa, saya sangat bersetuju apabila dimaklumakan anak akan divaksin kerana dia berisiko, malah dia sendiri yang hendak disuntik dan tidak takut.

“Alhamdulillah, anak tidak mengalami kesan sampingan yang teruk hanya sengal pada tangan selepas disuntik,” katanya yang tinggal di Taman Nusari Bayu, Bandar Sri Sendayan di sini.

Dalam pada itu, Nur Hamizah yang mempunyai empat orang anak berusia sembilan bulan hingga 11 tahun turut berkongsi pengalaman satu keluarga dijangkiti Covid-19 pada bulan Julai lalu.

“Pada masa itu, saya dan suami telah menerima vaksin dan saya bersyukur hanya mengalami demam tanpa gejala teruk walaupun saya sendiri ada penyakit tekanan darah rendah.

“Kami sekeluarga menjalani kuarantin kendiri di rumah dan pengalaman itu membuatkan saya sedar tentang kepentingan vaksin,” katanya.

Nur Hamizah turut menasihatkan masyarakat supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai perlindungan diri selain mengurangkan risiko yang lebih teruk jika dijangkiti virus itu. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI