LONDON – Sebuah kereta sport mewah antik model Iso Grifo 1971 yang berusia 50 tahun bakal dilelong di sebuah acara lelongan Sabtu ini pada harga dijangka mencecah £250,000 (RM1.4 juta), lapor portal berita MailOnline, kelmarin.
Kereta yang hanya dihasilkan sebanyak tiga buah di seluruh dunia itu adalah tempahan khas oleh pemilik asalnya yang pada waktu itu menetap di Rhodesia, Afrika Selatan.
Pemilik asalnya hanya sempat menggunakan kenderaan tersebut selama tiga tahun dengan jarak perjalanan kurang 33,796 kilometer sebelum disimpan rapi di dalam sebuah garaj khas.
“Ini adalah peluang keemasan bagi peminat kereta klasik untuk memiliki kereta sport mewah yang hanya pernah dimiliki oleh seorang pemilik dan masih berada dalam keadaan baik,” demikian menurut kenyataan dari laman web pengendali lelongan, Revival Goodwood Bonhams.
Iso Grifo adalah gabungan reka bentuk eksotik Eropah yang dilengkapi dengan enjin kereta sport mewah ciptaan Amerika Syarikat. – AGENSI