BARCELONA – Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman mengakui, perbezaan kualiti antara pasukannya dengan Bayern Munich ketika ini bagaikan ‘langit dengan bumi’ selepas mereka tewas 0-3 pada aksi pembukaan Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada aksi di Camp Nou itu, The Catalan gagal melakukan sebarang percubaan ke arah kubu Bayern yang mendominasi sepenuhnya perlawanan dan meraih satu gol menerusi Thomas Mueller serta dua daripada penyerang, Robert Lewandowski.
Koeman mengakui, dia sukar menerima kekalahan itu kerana mengulangi igauan ngeri ketika mereka tewas 2-8 kepada Bayern tahun lalu dan berharap agar para penyokong dapat bersikap realistik terhadap kualiti pemain dalam pasukan kali ini.
“Kami perlu bersikap terbuka dan realistik kerana jurang kualiti antara Barcelona dengan Bayern terlalu berbeza. Perbezaan bertambah jauh apabila kami kehilangan ramai tonggak utama sehingga terpaksa meletakkan pemain-pemain muda.
“Bukan kami tidak mampu menewaskan Bayern tetapi sekarang bukanlah masa yang tepat. Kami memerlukan barisan pemain terbaik sebelum boleh mencipta kejutan pada pertemuan berikutnya nanti.
“Kemenangan ini sudah tentu meletakkan Bayern sebagai pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan E. Bagi Barcelona, kami perlu mengutip mata dalam perlawanan seterusnya jika mahu melangkah ke peringkat kalah mati,” katanya.
Sebagai rekod, Barcelona terpaksa mengharungi aksi itu dalam keadaan ‘tempang’ selepas hilang ramai pemain utama seperti Ousmane Dembele, Ansu Fati, Martin Braithwaite dan Sergio Aguero yang terpaksa diketepikan kerana masing-masing mengalami masalah kecederaan. – AGENSI