fbpx

[VIDEO] Udara beracun landa Johor lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk, A. Khalid Muslim menunjukkan labi-labi yang terselamat dalam kejadian pencemaran sisa kimia di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor Bahru baru-baru ini. – RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Tragedi pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menyebabkan ribuan penduduk termasuk pelajar sekolah mengalami sesak nafas dan muntah pada tahun 2019 kembali berulang.

Kali ini pencemaran berlaku di Kampung Baru Sri Aman, Kempas di sini yang mengakibatkan empat wanita dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas, muntah-muntah dan dua daripada mereka pengsan akibat terhidu bau bahan kimia ketika berada di rumah malam kelmarin.

Kesemua mangsa berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, seramai 128 penduduk daripada 37 keluarga di kampung terbabit turut dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru di sini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Pasukan HAZMAT melakukan pemeriksaan di tali air yang menjadi lokasi pencemaran bahan kimia dikesan.

Jarak di antara Sungai Kim Kim dan Kampung Baru Sri Aman sejauh kira-kira 40 kilo­meter.

Seorang penduduk, Hafiz Badrul Hisham, 37, mendakwa, kejadian itu mula dikesan kira-kira pukul 8.30 malam selepas bau yang menyesakkan nafas menyelubungi persekitaran kampung.

Menurutnya, bau yang kuat seakan-akan bau petrol itu menyebabkan mereka yang terhidunya akan berasa mual, loya dan sukar bernafas

“Ketika kejadian saya berada di luar rumah, secara tiba-tiba saya terhidu satu bau yang amat tidak menyenangkan.

“Jadi, saya tergerak hati untuk mencari puncanya sama ada datang dari stesen minyak berhampiran. Semakin lama, bau itu makin kuat. Ketika itu, saya lihat ramai jiran sudah keluar rumah kerana mungkin mereka juga terganggu dengan bau tersebut.

“Saya ternampak seorang wanita sudah batuk-batuk sebelum dia tiba-tiba pengsan. Saya telah membawanya masuk dalam rumah sementara me­nunggu anggota bomba tiba,” katanya ketika ditemui semalam.

A. Khalid Muslim, 70, pula memberitahu, bau busuk yang dapat dihidu sehingga awal pagi semalam menyebabkan ramai yang sesak nafas.

Katanya, beberapa penduduk termasuk dirinya sendiri dapat menghidu bau hangit yang kuat seperti tayar dibakar.

“Kami kemudian cuba mencari punca sebenar bau busuk tersebut sebelum ternampak kepulan asap keluar dari tali air berdekatan kampung.

“Kami pergi ke tali air itu dan ketika menyuluh lampu ke dalam air, kami nampak ikan serta labi-labi sudah mati dan terapung. Kami juga semakin sukar untuk bernafas semasa berada di kawasan itu,” ujarnya.

@kosmoonlineEmpat suspek ditahan buang sisa toksik dalam tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor Bahru hari ini. Satu dipindahkan selepas terhidu bahan kimia itu. ##kempas ##bahankimia

♬ original sound – Kosmo!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI