LANGKAWI – Tempahan bagi hotel tiga dan empat bintang di pulau peranginan ini didapati masih rendah dan ia dipercayai berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah.
Pelaksanaan PKPD tersebut menyebabkan Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah yang menjadi salah satu pintu masuk utama ke Langkawi ditutup sejak 6 September lalu.
Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Razmi Rahmat berkata, setakat ini hanya 30 peratus tempahan yang diterima oleh hotel bertaraf tiga bintang ke bawah.
“Saya yakin selepas PKPD tersebut ditamatkan, lebih banyak feri akan masuk dan lebih lagi (pelancong masuk ke sini),” katanya yang ditemui di Hotel Adya Kuah di sini hari ini
Bagaimanapun, Razmi memaklumkan, tempahan hotel lima bintang telah mencecah 80 peratus memandangkan kebanyakan pengunjung yang berkemampuan untuk ke luar negara memilih untuk menginap di hotel lima bintang di sini. – K! ONLINE