fbpx

Tiada pilihan, Izreen Azminda perlu bersalin secara pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZREEN dijangka melahirkan anak ketiganya sekitar minggu ini atau minggu hadapan dan perkara tersebut telah diberitahu awal oleh doktor.

PETALING JAYA – Selepas dua kali melahirkan anak secara pembedahan caesarean, pelakon Izreen Azminda tiada pilihan lain apabila terpaksa melahirkan anak ketiganya menerusi kaedah yang sama.

Menurut Izreen, 36, yang dijangka melahirkan anak ketiganya sekitar minggu ini atau minggu hadapan dan perkara tersebut telah diberitahu awal oleh doktor.

“Anak pertama dilahirkan secara pembedahan, jika diikutkan saya mahu lahirkan bayi kedua secara normal. Namun, disebabkan kedudukannya melintang, saya tiada pilihan selain perlu dibedah.

“Oleh sebab itu, saya  juga tiada pilihan untuk anak ketiga ini. Mahu atau tidak, doktor memberitahu, saya perlu melahirkan anak secara pembedahan juga,” kata Izreen yang dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Dalam pada itu, pelakon yang popular dengan drama Tanggang Ayu meluahkan kebimbangannya melahirkan anak dalam musim pandemik Covid-19.

Jelasnya, disebabkan sedar akan risiko lebih tinggi terhadap wanita hamil, Izreen mendisiplinkan dirinya untuk tidak keluar dari rumah selain daripada menjalani pemeriksaan kandungan bulanan di sebuah hospital swasta.

“Memang takut dan bimbang, cuma saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Ibu mengandung emosinya mudah terganggu dan akan membuatkan saya tidak senang duduk.

“Jadi, cara terbaik adalah fokus pada kesihatan diri dan proses bersalin sahaja. Walaupun sudah cukup dua dos vaksin, saya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya memang langsung tidak keluar rumah kecuali ke hospital untuk pemeriksaan bulanan. Jika terlalu bosan atau teringin sangat keluar rumah suami akan bawa berjalan-jalan pusing-pusing dalam kereta sahaja,” ujar Izreen.

Meskipun berasa bimbang, kata Izreen hatinya sedikit lega apabila melihat pihak hospital mengenakan posedur operasi standard (SOP) yang agak ketat.

“Bersalin ketika musim Covid-19 memang agak sukar, namun semua SOP yang dibuat adalah untuk memastikan kesihatan pesakit terjamin.

“Saya akan ditemani suami ketika bersalin dan dia perlu menjalani ujian calitan dua hari sebelum pembedahan dijalankan. Begitu juga dengan ibu mertua yang akan menjaga saya sepanjang di rawat di hospital.

“Suami perlu tetap pulang ke rumah kerana anak kedua, Aaron masih kecil dan tidak mahu dengan orang lain,” ujar Izreen.

Ditebak akan jantina anak ketiganya, Izreen bagaimanapun memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu.

“Soal jantina anak tunggulah selepas dilahirkan kelak. Saya dan suami sudah tahu, cuma untuk orang lain tunggulah selepas saya bersalin,” tutur Izreen.

Kehamilan ketiga tersebut merupakan kandungan kedua hasil perkongsian hidup bersama pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau dikenali sebagai Ude yang dikahwini pada 8 Ogos 2017.

Hasil perkongsian hidup bersama Ude, Izreen dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim yang kini berusia dua tahun.

Terdahulu, pelakon kelahiran Perlis itu turut memiliki seorang anak lelaki sulung, Muhammad Adrian Umar, 8, menerusi perkahwinan pertamanya dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza Baharudin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI