BALING – Kelicikan dua beradik bersama dua lagi rakannya dalam kegiatan curi motosikal di daerah ini sejak awal tahun ini berakhir apabila mereka diberkas pada kelmarin.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, empat suspek berusia antara 22 hingga 26 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan di Kampung Simpang Carok Kangar, Kampung Iboi, Kupang dan Jalan Charuk Nau.
“Bertindak atas maklumat kecurian motosikal pada Isnin lalu, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Simpang Carok Kangar dan menahan dua lelaki tempatan yang juga adik beradik.
“Kita kemudian menahan dua lagi suspek masing-masing di sebuah pondok di Kampung Bukit Iboi dan tepi Jalan Charuk Nau di sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di sini hari ini.
Katanya, polis menemukan barang kes di kawasan paya belukar di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Simpang Carok Kangar dengan penahanan kesemua suspek tersebut dipercayai berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal di daerah ini – K! ONLINE