KUALA PILAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan telah mengeluarkan sebanyak 24 Notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dalam Ops Catut 8.0 yang dijalankan di seluruh negeri ini sejak 8 September lalu.
Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, notis berkenaan dikeluarkan kepada pengeluar atau penternak, pemborong dan peruncit di negeri ini bagi mendapatkan harga jualan, kos serta peratus margin dalam tempoh tertentu pada tahun lalu dan tahun ini.
Menurutnya, hasil awal daripada tindakan Ops Catut 8.0 ini mendapati kenaikan harga jualan Ayam Bersih Standart adalah dipengaruhi oleh faktor peningkatan kos bagi dedak ayam di peringkat pengeluar atau penternak.
“Siasatan dan analisa harga akan terus dijalankan KPDNHEP Negeri Sembilan bagi setiap notis berkenaan. Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati terdapat peniaga yang menaikkan harga ayam di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya.
“Sehingga 13 September lalu, harga jualan Ayam Bersih Standard di pasar-pasar awam di negeri ini mencatatkan harga tertinggi RM10.50 sekilogram di Pasar Seremban dan Pasar Ampangan.
“Kenaikan harga turut direkodkan di pasar raya besar di sekitar negeri ini dengan harga jualan tertinggi ialah RM9.50 sekilogram,” katanya kepada pemberita pada Operasi Pemantauan di Peringkat Rantaian Pembekalan Ayam di Bawah Ops Catut 8.0 di Pasar Awam Kuala Pilah hari ini. – K! ONLINE