PETALING JAYA – Sebuah klip video memaparkan seorang pemandu kereta jenis Perodua Myvi memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain tular di media sosial sejak semalam.
Menerusi perkongsian Taufiq Wildani di Kumpulan Facebook Myvi Buat Hal Apa Hari Ini, video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 19 saat itu memaparkan pemandu kereta Myvi tersebut secara tiba-tiba menukar arah haluan pada saat akhir.
Susulan kejadian membahayakan itu, pemandu-pemandu yang lain terpaksa menekan brek secara mengejut dan hampir menyebabkan kemalangan ditambah lagi dengan keadaan jalan raya yang licin kerana hujan.
Difahamkan berdasarkan video tersebut tarikh kejadian itu berlaku adalah kelmarin namun lokasi tidak dapat dipastikan.
Orang ramai turut memberikan pendapat, pemanduan oleh pemandu itu sangat berbahaya dan boleh mengundang kejadian yang tidak diingini.
“Sudahlah time (semasa) hujan. Jalan licin juga. Nasib dua-dua (pemandu lain) sempat menekan brek,” kata Adam Julius.
“Tak pasal-pasal Myvi jugak dapat bodoh, pemilik Myvi itu ‘steady’ saja buat bodoh,” kata Junaidi Safari.
Sementara itu, Akim Akim menasihatkan agar pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mengingati pemandu-pemandu lain semasa memandu.
“Dalam tergesa-gesa, harus ingat pengguna yang lain juga,” tulisnya. – K! ONLINE