KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Status Warganegara Peringkat Negeri Sarawak untuk meneliti urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah di negeri itu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, bagi negeri Sabah pula perkara itu diteliti dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah.
“Kita juga telah tukarkan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan pada 2015 kepada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di mana ‘mobile’ kita akan turun ke pedalaman.
“Kita juga mengalu-alukan kementerian lain untuk memberikan data (individu tidak berdokumen),” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni mengenai langkah membantu rakyat tempatan luar bandar dan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak mendapatkan dokumen pengenalan diri.
Dalam pada itu, Ismail berkata, KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa mengambil inisiatif dan langkah proaktif bagi memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara.
Menurut beliau, ia termasuk di kawasan pedalaman melalui inisiatif Mekar yang menyediakan pelbagai khidmat nasihat berkaitan pendaftaran kad pengenalan, kelahiran dan kematian.
Kata beliau, inisiatif lain melaui pelaksanaan operasi penguatkuasaan seperti OP Patuh yang bertujuan mengawal dan menilai pematuhan masyarakat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Jelas beliau, dalam operasi terbabit KDN sentiasa menasihatkan semua pihak terutama majikan untuk memastikan setiap pekerja mereka mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Majikan dinasihatkan meregularisasikan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memastikan semua pekerja adalah berdokumen dan mendapat akses kepada vaksinasi Covid-19,” katanya. – K! ONLINE