fbpx

Dalami bahasa Arab dengan aplikasi AR-Faseh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOSA kata bahasa Arab mudah dipelajari dengan aplikasi AR-Faseh.

MENGUASAI bahasa asing adalah satu kelebihan kepada individu kerana ia dapat memberi nilai tambah kepada mereka.

Setiap orang mempunyai pilihan bahasa asing yang ingin dipelajari, antaranya bahasa Inggeris, Mandarin, Arab serta Perancis.

Bagi kebanyakan rakyat negara ini terutama umat Islam lebih cenderung untuk menguasai bahasa Arab memandangkan ia adalah bahasa al- Quran.

Bagi memudahkan mereka yang berminat untuk menguasai bahasa Arab,satu aplikasi dinamakan AR- Faseh dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk tujuan tersebut.

Ketua penyelidik dan juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Dr. Lily Hanefarezan Asbulah berkata, AR-Faseh merupakan satu aplikasi pembelajaran kosa kata bahasa Arab berasaskan teknologi realiti terimbuh (augmented reality) menggunakan pendekatan pembelajaran secara interaktif dan menyeronokkan.

Menurutnya, aplikasi itu dilihat berpotensi meningkatkan kefahaman melalui kosa kata harian yang kerap digunakan dalam bahasa Arab.

LILY HANEFAREZAN menunjukkan aplikasi AR-Faseh yang boleh dimuat turun ke peranti pintar.

Ia jelasnya, dapat meningkatkan tahap minat pelajar melalui pendekatan animasi tiga dimensi (3D), audio dan video, selain memberi kesan positif melalui pengalaman pembelajaran terutamanya bagi pelajar yang lemah dalam mengingati kosa kata bahasa tersebut.

“Dalam konteks pendidikan bahasa Arab di Malaysia, penguasaan kosa kata merupakan aspek penting. Kemampuan menguasai kosa kata mencerminkan penguasaan kemahiran sesuatu bahasa.

“Kajian menunjukkan, pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi memerlukan penguasaan kosa kata anggaran antara 3,500 hingga 5,000 perkataan,” terangnya.

Tambahnya, namun begitu, isu penguasaan saiz kosa kata pelajar yang terhad menyebabkan mereka berhadapan masalah untuk menguasai bahasa Arab dengan baik.

Hal ini kerana, mereka yang mempunyai penguasaan saiz kosa kata luas diiktiraf sebagai pelajar yang memiliki kefasihan dalam sesuatu bahasa.

Oleh yang demikian, projek itu bertujuan untuk membantu pelajar untuk menguasai aspek kosa kata bahasa Arab yang perlu dipelajari.

Aplikasi ini juga membolehkan pelajar mempelajari kosa kata bahasa Arab secara kendiri di era pandemik Covid-19 walaupun mereka tidak dapat hadir bersemuka dalam kuliah untuk bertemu pensyarah.

Selain Lily Hanefarezan, penyelidik lain yang terlibat dalam pembangunan aplikasi itu ialah Dr. Tan Siok Yee daripada Fakulti Teknologi Sains Maklumat UKM dan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ts. Dr. Mus’ab Sahrim.

Selain itu, projek inovasi aplikasi itu turut melibatkan pihak industri seperti Pengarah Urusan Syarikat Wariscan Sdn. Bhd, Hilman Nordin.

Dia bertanggungjawab memberikan konsultansi, latihan serta bimbingan dalam bidang realiti terimbuh daripada perspektif industri terhadap perjalanan projek berkenaan.

Sementara itu, Lily Hanefarezan menerangkan, idea untuk membangunkan aplikasi itu tercetus apabila melihat pelajar sering meluahkan kesukaran untuk mengingati kosa kata dipelajari.

“Selain itu, kaedah pembelajaran kosa kata bahasa Arab yang masih bersifat hafalan masih menggunakan kaedah tradisional.

KANAK-KANAK juga boleh mempelajari bahasa Arab melalui aplikasi AR-Faseh.

“Ini mendorong kami memberi nafas baharu dalam pembelajaran bahasa Arab di Malaysia dengan menghibridisasi elemen teknologi realiti terimbuh terutamanya bagi aspek kosa kata yang perlu dikuasai.

“Teknologi ini berupaya menggabungkan objek maya kedalam dunia realiti. Ini membolehkan pengguna berinteraksi dengan objek maya tersebut secara nyata,” jelasnya.

Tambahnya, itu semua selaras dengan objektif dana penyelidikan yang diterima untuk mempertingkatkan inovasi pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran berteraskan teknologi digital melalui kepakaran dalaman.

Ujarnya lagi, merujuk kepada potensi yang dianalisa sepanjang pelaksanaan penyelidikan, aplikasi itu bukan sahaja boleh digunakan oleh pelajar di peringkat universiti semata-mata.

Ia turut mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk diperkembangkan kepada silibus bahasa Arab di sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Play dalam masa terdekat.

“Ia boleh dimanfaatkan sebagai bahan pembelajaran sokongan bahasa Arab di institusi pendidikan seperti universiti awam atau swasta, sekolah- sekolah mahupun komuniti awam yang berminat untuk mempelajarinya.

“Selain itu, walaupun projek inovasi aplikasi itu baru dibangunkan, namun ia berjaya merangkul tempat kedua bagi kategori Anugerah Inovasi Terbaik di Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (kNOvasi) 2021 yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini,” terangnya.

Di samping itu, projek itu berjaya didaftarkan sebagai harta intelek bagi kategori hak cipta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI