Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA SELANGOR – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor berjaya membuktikan bukan sahaja pakar dalam memberikan khidmat kecemasan malah menyemai semangat patriotisme.
Ini dibuktikan apabila lebih 10 anggota termasuk pegawainya berjaya menyiapkan jahitan Jalur Gemilang sepanjang 50 meter, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, idea itu tercetus berikutan faktor lokasi strategik pejabat yang berada di laluan ke pusat pelancongan Bukit Malawati.
Katanya, jahitan cantuman itu melibatkan 60 bendera dalam tempoh tiga hari bermula Rabu lalu.
“Kami menganggap idea mencantumkan bendera ini lebih baik berbanding hanya menggantungnya secara biasa.
“Rasa berbaloi dan hilang penat apabila melihat bendera ini dicantumkan dan digantung di sekitar pagar pejabat APM di sini dalam menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-63 terutama di kalangan rakyat termasuk pelancong,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini,
Shaiful Azril menambah, kesemua bendera tersebut adalah hasil sumbangan anggota termasuk beliau yang membelinya sendiri.
“Setiap anggota membuat kutipan secara sukarela dan mengorbankan masa yang terluang ketika ketiadaan kes.
“Kami menjahit bendera itu secara bergilir-gilir dan teryata semuanya tidak mustahil sekiranya
bekerjasama dalam satu pasukan,” katanya. -K!ONLINE