TAMPIN – Seorang wanita tidak menyangka ujian terpaksa menjadi pasangan jarak jauh (PJJ) sejak enam tahun lalu dinoktahkan dengan kematian suaminya akibat pandemik Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 30 Jun lalu.
Wanita berkenaan, Nor Bainah Mat, 37, berkata, suaminya, Mohd Sharil Abd. Jalil, 36, bekerja sebagai pemandu lori dan menetap di tempat kerjanya di Klang bagi memudahkannya menghantar barangan dalam jarak perjalanan jauh seperti ke Johor.
Menurutnya, suaminya sempat singgah sebentar di rumah pada penghujung Mei lalu ketika dalam perjalanan menghantar barang ke Johor bagi memberi tiga bidang karpet untuk digunakan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.
“Suami kata dia singgah sekejap disebabkan golongan PJJ tidak dibenarkan rentas negeri bermula 1 Jun. Jadi dia mahu hantar siap-siap dan berjumpa tiga anak kami berusia dua hingga 11 tahun.
“Walaupun sebentar sahaja, saya faham akan tugasnya itu. Namun, pada 8 Jun lalu suami mula berasa tidak sihat, saya mulai tidak sedap hati dan bimbang kerana kebiasaannya suami akan benar-benar lemah serta memerlukan saya di sisi sekiranya demam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Buloh, di sini kelmarin.
Katanya, Allahyarham membuat pemeriksaan kesihatan di klinik swasta, namun hanya dimasukkan air kerana doktor menyatakan suami mengalami demam biasa.
Bagaimanapun, menurutnya, pada 13 Jun, keadaan suaminya bertambah buruk sebelum majikan arwah menghubungi ambulans untuk dihantar ke hospital.
“Semasa di hospital suami disahkan positif Covid-19 dan keadaannya ketika itu yang masih belum mendapat vaksin sudah kritikal serta berada di kategori empat. Luluh perasaan saya semasa mengetahui keadaannya.
“Malah, saya semakin bimbang bila panggilan telefon dan WhatsApp sudah tidak berbalas. Pun begitu, saya dan anak-anak membacakan surah Yasin buat suami dan berharap agar suami dapat sembuh kembali,” kongsinya lagi.
Menurutnya, pada 19 Jun lalu suami menghubunginya dan memaklumkan akan ditidurkan disebabkan keadaannya yang tidak stabil.
“Belum sempat saya mahu memanggil anak-anak terutamanya si bongsu yang amat disayangi suami, panggilan video suami yang ketika itu dalam keadaan memakai alat bantuan pernafasan terputus.
“Kira-kira 10 hari suami ditidurkan, saya dapat perkhabaran sedih suami sudah meninggal dunia,” katanya selain menambah jenazah suami dikebumikan di Tampin dua hari kemudian.
Menurutnya, masih segar dalam ingatannya sepanjang 12 tahun perkahwinan, Allahyarham adalah seorang yang sangat bertanggungjawab dan penyayang dengan anak-anak walaupun terpaksa berjauhan bagi mencari rezeki.