NEW YORK – Satu kaji selidik mendapati seorang dalam setiap tujuh penduduk Amerika Syarikat (AS) yang telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19 memilih untuk memutuskan hubungan dengan rakan-rakan yang enggan menerima pelalian, lapor akhbar New York Post semalam.
Tinjauan yang dilakukan oleh firma kaji selidik dan pemasaran, OnePoll itu turut mendedahkan bahawa 16 peratus responden telah memutuskan persahabatan dengan sekurang-kurangnya tiga rakan mereka sejak pandemik bermula pada Mac 2020.
Daripada kesemua responden yang memutuskan persahabatan itu, 66 peratus terdiri daripada mereka yang menerima vaksinasi dan 17 peratus lagi tidak merancang untuk mendapatkan pelalian.
Selain itu, satu daripada tujuh responden atau 14 peratus yang telah menerima vaksinasi mengaku memutuskan hubungan persahabatan kerana rakan mereka berdegil dan tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin.
Sebanyak 97 peratus daripada responden pula percaya bahawa bekas rakan mereka itu terdiri daripada golongan antivaksin yang sukar untuk diyakinkan mengenai kepentingan mendapatkan suntikan pelalian.
Menurut mereka, golongan tersebut percaya bahawa vaksin tidak berkesan dalam melindungi diri daripada wabak Covid-19.
Sementara itu, menurut golongan antivaksin yang turut mengambil bahagian dalam kaji selidik tersebut, mereka bimbang akan kesan sampingan akibat vaksinasi, berada dalam keadaan sihat atau melahirkan rasa tidak percaya terhadap keberkesanan suntikan tersebut.
Kaji selidik secara online itu dilakukan terhadap 1,000 penduduk AS. – AGENSI