NEW YORK – Bintang tenis sensasi Great Britain, Emma Raducanu dilaporkan bakal menerima tajaan mewah bernilai £100 juta (RM575.71 juta) susulan kejayaan melakar sejarah merangkul Grand Slam pertama pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Kejayaan tersebut membolehkan Raducanu membawa pulang wang tunai berjumlah £1.8 juta (RM10.36 juta) dan mampu mengaut lebih banyak keuntungan menerusi pelbagai tajaan yang bakal ditawarkan terhadap pemain berusia 18 tahun itu.
Bukan itu sahaja, Raducanu turut tidak percaya apabila dia kini merupakan pemain No. 23 dunia berdasarkan senarai rasmi yang dikeluarkan Persatuan Tenis Wanita (WTA) sejurus tamat saingan Terbuka AS.
Keputusan itu menyaksikan Raducanu yang sebelum ini menduduki ranking ke-150 dunia melonjak mendadak dengan menaiki 127 anak tangga selepas WTA mengemas kini carta keseluruhan pemain wanita.
Raducanu menganggap peningkatan kedudukan ranking itu sebagai habuan terbaik buat dirinya selepas bekerja keras untuk menjuarai Grand Slam pertama dalam kariernya.
“Saya tidak sangka dapat berada dalam kelompok 23 pemain terbaik dunia. Ini adalah situasi yang luar biasa kerana saya tidak perlu lagi mengharungi fasa kelayakan dalam mana-mana kejohanan selepas ini.
“Tiga bulan lalu saya masih menduduki peperiksaan A-Level di England dan kini segala-galanya berubah. Saya tidak mahu mendabik dada dan kekal fokus bagi memastikan karier saya sentiasa berada pada landasan tepat.
“Misi seterusnya sudah tentu mahu memenangi lebih banyak kejuaraan tetapi saya sedar ia bukan sesuatu yang mudah,” kata pemain berdarah kacukan Romania-China itu.
Sebagai rekod, Raducanu menjuarai Terbuka AS selepas menewaskan seorang lagi bintang muda berusia 18 tahun, Leylah Annie Fernandez dari Kanada pada aksi final. – AGENSI