fbpx

Pukul isteri sebab tegur bawa pelacur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Amar

KLANG – Kasih sayang seorang isteri ternyata tidak bernilai di mata seorang pengumpul besi buruk yang sanggup memukul muka wanita itu semata-mata untuk seorang pelacur dalam kejadian di rumah mereka di Taman Sri Sentosa, baru-baru ini.

Tidak cukup itu, suspek berusia 58 tahun juga bertindak mengacu sebilah parang ke arah isterinya berusia 60 tahun dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa dan suspek telah mendirikan rumah tangga sejak 27 tahun lalu.

Katanya, pada hari kejadian berlaku pertengkaran mulut antara pasangan tersebut selepas mangsa menegur suspek membawa seorang pelacur ke dalam sebuah bilik di rumah mereka.

“Suspek kemudiannya mengaku pernah melakukan hubungan seks bersama pelacur tersebut sebelum lelaki itu naik berang memukul isterinya di bahagian muka.

“Selain itu, suspek juga telah bertindak mengacu sebilah parang dan membuatkan mangsa melarikan diri kerana bimbang keselamatannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kata beliau, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama dengan usaha menjejaki suspek dilakukan polis.

Tambah Shamsul Amar, suspek kemudiannya berjaya ditahan pukul 5 petang semalam sebaik lelaki itu pulang ke rumahnya.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 21 rekod jenayah lampau termasuk meragut, rompakan bersenjata, menceroboh, mencuri dan dadah.

“Suspek kini direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan ugutan jenayah,” katanya. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI