PETALING JAYA – Sama seperti kebanyakan ibu bapa lain, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga tidak terkecuali melahirkan rasa simpati terhadap perkembangan dan pergaulan anak-anaknya di waktu pandemik Covid-19.
Ujar Siti, dia percaya perkembangan dan pergaulan anak-anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa sedikit-sebanyak terkesan apabila membesar dalam suasana pandemik.
“Aafiyah mungkin sedikit beruntung kerana sebelum ini dia pernah merasai pengalaman mengikuti saya bekerja, melihat konsert saya dan pernah merasai naik kapal terbang ke luar negara.
“Tetapi selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, semuanya berubah. Jadi saya dan suami perlu cari pendekatan lain supaya dia (Aafiyah) tidak ketinggalan,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Memandangkan pengasuh kepada Aafiyah, Dayah Zubit telah berhenti kerja selepas mendirikan rumah tangga, Siti bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K telah mengambil pendekatan dengan mengupah seorang guru untuk mengajar Aafiyah di rumah.
“Memandangkan Dayah telah berhenti kerja, saya telah mengupah seorang guru untuk mengajar Aafiyah di rumah. Setiap hari dia akan belajar dan melakukan aktiviti menarik.
“Dekat situ saya nampak perkembangan positif Aafiyah dari sudut mental dan dia juga tidak hanya tertumpu dengan gadjet semata-mata,” jelasnya.
Dalam pada itu, penyanyi yang mula mencipta nama selepas memenangi pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (MHI) 1995 itu juga sempat berkongsi momen ketika Aafiyah dibawa keluar bersiar-siar menaiki kereta selepas lama ‘berkurung’.
Ujar pelantun lagu Jerat Percintaan itu, dia berasa kasihan melihat reaksi ‘teruja’ Aafiyah ketika dibawa keluar bersiar-siar walaupun hanya menaiki kereta.
“Dia sangat teruja bila tengok banyak kenderaan di atas jalan raya. Tengok lampu yang cantik-cantik. Sampai satu tahap saya jadi kesian kerana betapa terkesannya dia apabila tidak bebas untuk keluar rumah,”
“Untuk Afwa pula, dia masih kecil dan tidak berapa faham. Saya bersyukur ada hikmah sepanjang PKP apabila saya dapat luangkan lebih masa untuk anak-anak
“Gembiralah hati saya dapat melihat anak-anak membesar depan mata. Bayangkan kalau saya bekerja seperti biasa (normal), tak boleh tengok anak-anak sepanjang hari,” Jadi ujar Siti.
Siti yang ditemui ketika sidang media secara virtual Majlis Ulang Tahun Kedua Beausiti Stronger 2Gether hari ini juga turut meluahkan hasrat dan kerinduan untuk mengadakan konsert jika keadaan semasa mengizinkan bersempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam dunia seni hiburan.
“Saya teringin untuk adakan sebuah konsert bersempena ulang tahun ke-25 pembabitan saya dalam dunia nyanyian. Insya-Allah kalau diberi kebenaran oleh pihak kerajaan, saya akan fikirkan perkara itu nanti,” katanya. – K! ONLINE