Oleh MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
SEREMBAN – Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pelanggan yang selalu memberikan sokongan, pembekal makanan sejuk beku, NKA Frozen hari ini menawarkan seekor ayam pencen yang dijual dengan hanya RM1.
Bagi pemiliknya, Mohd. Khairul Azman, 33, tawaran istimewa yang diberikan itu juga adalah bersempena dengan pembukaan cawangan kedua kedai tersebut di Senawang hari ini.
“Jualan promosi ayam pencen ini akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut, iaitu bermula hari ini sehingga Ahad. Kami sediakan kira-kira 150 hingga 200 ekor ayam sehari namun terhad satu ekor setiap seorang.
“Tujuan promosi ini adalah untuk lebih dekat dengan penduduk tempatan yang ada di sekeliling. Apa yang saya peroleh daripada perniagaan ini adalah semuanya datang daripada sokongan pelanggan, saya beri semula kepada mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain itu katanya, pembukaan cawangan kedua NKA Frozen di Senawang adalah bagi memberi kemudahan kepada pelanggan-pelanggan yang ada di kawasan Seremban dan sekitarnya.
“Cawangan di Senawang ini adalah permulaan kepada kedai kami di kawasan bandar, banyak pelanggan kami sebelum ini adalah dari Seremban dan mereka selalu ke Rembau, jadi saya buat keputusan buka pula di sini.
“Memang saya mempunyai rancangan untuk buka beberapa cawangan lagi di Negeri Sembilan seperti Port Dickson, Kuala Pilah dan Tampin. Peringkat awal ni memang tumpuan kami di Negeri Sembilan malah warna kuning yang menjadi warna utama kedai kami juga adalah bersempena bendera Negeri Sembilan,” katanya. – K! ONLINE