KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah daripada seorang doktor tiga tahun lalu.
Tertuduh T.Harikumar, 43, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.
Mengikut pertuduhan, Harikumar didakwa telah menerima wang deposit daripada seorang doktor lelaki berusia 59 tahun tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Abdullah, Bangsar di sini antara 1 Ogos 2018 hingga 26 Februari 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
Menurut Julaila jumlah ikat jamin itu adalah memadai berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh satu kesalahan yang serius selain jumlah yang terlibat RM999,500.
Bagaimanapun peguam Datuk C.Vignesh Kumar Chellapah memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin tersebut dengan alasan pendapatan tertuduh terjejas sejak pandemik dan tertuduh bersedia menerima syarat-syarat tambahan yang akan dikenakan mahkamah.
“Tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak berusia lima tahun turut menjaga seorang ibu berusia 75 tahun yang menghidap penyakit kencing manis,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak hakim Ahmad Kamar membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tarikh 26 Oktober ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929