PEKAN – Seorang lelaki tersepit hampir setengah jam selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam longkang gara-gara terlanggar seekor lembu di Jalan Pekan-Batu Balik dekat Kampung Tanjung Medan, di sini, awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, mangsa berusia 27 tahun berjaya dikeluarkan pihaknya sebelum dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
“Kami menerima laporan kejadian kira-kira pukul 4.35 pagi dan enam anggota dari BBP Peramu diarahkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati mangsa gagal keluar dari tempat duduk pemandu,”katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi menyelamat segera dilakukan bagi mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit sebelum dihantar ke hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa hanya mengalami cedera ringan termasuk luka di bahagian kepala dan muka manakala haiwan terbabit mati di tempat kejadian.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929