fbpx

Lesen pemindahan balak di hutan berhampiran KLK dibatalkan serta merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan hutan yang ditebang berhampiran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di Bentong di sini.

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak membatalkan lesen pemindahan balak di kawasan hutan berhampiran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta merta sekali gus menghentikan kerja-kerja pembalakan di kawasan tersebut.

Pengarah JPNP Datuk Dr. Hizamri Mohd. Yassin berkata, meskipun pelesen tidak melakukan sebarang kesalahan hutan namun keputusan itu dilakukan setelah mengambil kira beberapa faktor termasuklah kepentingan awam.

“Pemantauan oleh JPNP mendapati pelesen mematuhi spesifikasi jalan hutan ditetapkan, cuma beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan terutama jambatan dan pembentung bagi lintasan alur air sungai sementara bagi mengelakkan sebarang pencemaran berlaku di dalam kawasan ini.

“Arahan dan pemantauan yang rapi kepada pelesen juga telah dibuat bagi memastikan pelesen melaksanakan tindakan pembetulan dengan segera dan penambahbaikan dari aspek penyelenggaraan jalan pengeluaran dengan lebih kerap kerana cuaca di daerah Bentong yang kerap hujan sejak kebelakangan ini,”katanya di sini, hari ini.

Hari ini Kosmo! Online melaporkan penebangan hutan di puncak bukit berhampiran Lebuh Raya KLK mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk setempat dan pengguna lebuh raya itu yang bimbang berlakunya tragedi tanah runtuh.

Presiden Pertubuhan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil menyatakan kebimbangan kejadian tanah runtuh yang membawa lumpur pada 11 November 2015 di Kilometer 52.4 lebuh raya berkenaan boleh berulang kembali.

Menurut Hizamri, JPNP akan terus melakukan pemantauan di kawawasan tersebut agar semua arahan JPNP dipatuhi.

Dalam pada itu beliau berkata, berdasarkan semakan JPNP mendapati kawasan berkenaan merupakan kawasan lesen pembersihan hutan berstatus tanah milik dengan keluasan 3.59 hektar yang terletak di daerah Bentong.

Katanya, hasil semakan di lapangan mendapati pelesen telah siap membina jalan pengeluaran ke kawasan lesen dan telah menjalankan kerja penebangan hampir 30 peratus di dalam kawasan itu.

“Selain itu semakan juga mendapati beberapa longgok tual balak daripada kawasan lesen telah disusun di matau sementara dan juga di matau utama tetapi kerja-kerja pengeluaran balak dari kawasan lesen tanah milik itu masih belum dilaksanakan,”ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI