fbpx

Barang kemas RM170,000 dikebas bekas jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (kiri) menunjukkan dua utas gelang emas dipercayai milik mangsa yang dirampas dalam serbuan di empat lokasi di Kota Bharu dan Tumpat semalam.

TUMPAT – Seorang wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM170,000 selepas barang kemas yang dipakainya disamun oleh bekas jiran sendiri dalam kejadian di rumahnya di Kampung Berangan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia 63 tahun dan merupakan suri rumah telah diacukan sebilah parang di leher sebelum menyerahkan semua barangan kemasnya kepada suspek.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati, mangsa tinggal seorang diri di dalam rumah tersebut sebelum didatangi dua penunggang motosikal yang memakai topi keledar dengan membawa dua bilah parang.

Katanya, selepas menceroboh masuk rumah mangsa, salah seorang suspek menekup mulut dan mengacu parang di lehernya manakala seorang lagi merampas semua barang kemas dipakai warga emas itu sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

“Siasatan mendapati, suspek membawa lari seutas rantai leher yang dipanggil rantai gajah bernilai RM90,000, seutas gelang tangan emas bernilai RM60,000 dan seutas lagi gelang tangan bernilai RM20,000.

“Sebaik menerima laporan, polis menjalankan serbuan di empat lokasi di Tumpat dan Kota Bharu. Dalam serbuan itu, kita menahan empat lelaki berusia antara 35 hingga 41 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Balai Polis Palekbang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Shafien, siasatan mendapati, salah seorang daripada suspek merupakan bekas jiran mangsa yang pernah tinggal di sebelah rumahnya.

Ujarnya, suspek dipercayai telah mengintip gerak-geri warga emas itu sepanjang tinggal di sebelah rumah sebelum bertindak menyamun mangsa.

“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kita turut merampas enam buah telefon bimbit, tiga resit transaksi pindahan wang, sekeping kad bank dan dua utas gelas tangan dipercayai milik suri rumah tersebut semasa serbuan dijalankan,” katanya.

Menurut Shafien, keempat-empat suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI