JOHOR BAHRU – Empat individu pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dikesan mengaut untung lebih dengan mengenakan caj perkhidmatan sehingga 20 peratus kepada peminjam sejak dua tahun lalu.
Kegiatan lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 36 tahun itu bagaimanapun tumpas apabila mereka diberkas dalam dua serbuan berasingan di dua premis sekitar Bukit Pasir dan Taman Banang, Batu Pahat dekat sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan itu dijalankan bermula pukul 1.30 petang, 6 September lalu.
“Hasil soal siasat ke atas suspek, mereka mengaku melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah terhadap keluarga serta mangsa yang melakukan pinjaman.
“Mereka mensasarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan pinjaman antara SGD300 (RM927) hingga SGD1,000 (RM3,090) dengan kadar bunga 20 peratus,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, semakan rekod terhadap suspek mendapati tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan judi, ah long serta kekerasan.
Polis turut merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah terbabit termasuklah lima buah komputer riba, telefon bimbit (21) serta kad sim telekomunikasi Singapura selain wang tunai RM9,700.
Kesemua suspek direman selama sembilan hari bermula 9 September sehingga esok bagi membantu siasatan.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929