PETALING JAYA – Pengacara dan juga penyanyi Hunny Madu berkongsi berita gembira apabila mengesahkan dirinya kini sedang hamil lima bulan.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Hunny memberitahu bahawa dia melalui fasa alahan yang teruk sepanjang tempoh kehamilan namun bersyukur masih berada dalam keadaan baik.
“Ada berita gembira untuk dikongsikan. Saya kini hamil lima bulan. Bulan kedua dan ketiga adalah fasa paling teruk dalam hidup saya. Saya cuma nampak tandas dan katil sahaja.
“Namun alhamdulillah saya melalui trimester pertama dengan baik dan saya juga telah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin ketika kandungan saya berusia 14 minggu. Kini saya telah pun lengkap dua dos vaksin,” katanya.
Kata Hunny atau nama lengkapnya Hani Farhana Mohd. Hatim, 37, itu lagi, dia tidak sabar untuk berkongsi berita gembira itu dengan semua walaupun terpaksa merahsiakan perkara tersebut pada awalnya atas sebab-sebab tertentu.
“Alhamdulillah bayi berada dalam keadaan baik dan saya tidak sabar untuk melihat suami menukar lampin dan membancuh susu bayi nanti.
“Cuma pada waktu sekarang, saya akan menikmati fasa kehamilan ini sambil menikmati makanan. Saya akan perlahankan aktiviti bersenam dan akan berjalan kaki sebagai senaman ringan,” jelasnya.
Terdahulu, Hunny mendirikan rumah tangga bersama suami yang juga merupakan seorang warganegara Itali, Fedrighi Francesco pada 2 Mei 2020.
Hunny yang pernah muncul dengan album bertajuk Pulau Janji pada 2011 sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Khairul Azhar Abdul Wahid pada 2010 dan dikurniakan dua orang cahaya matai aitu Eva Medina, 9 dan Adam Musa, 4. Hunny bagaimanapun berpisah dengan Khairul pada Oktober 2018. – K! ONLINE