fbpx

Sasar 10,000 penyertaan Kursus Asuhan dan Awal Kanak-Kanak Permata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (depan, dua dari kiri) bergambar bersama peserta di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu

KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan seramai 10,000 peserta yang akan menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, sasaran jumlah itu termasuk penyertaan wanita yang tergolong dalam isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan ibu tunggal.

Katanya, sejak diperkenal pada bulan Jun lalu, kursus tersebut telah berjaya menarik sebanyak 2,000 penyertaan dan jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Program ini merupakan satu inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) terhadap golongan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 baru-baru ini.

“Selain menyediakan bayaran insentif sebanyak RM900 kepada setiap peserta, kursus ini juga dijalankan secara percuma tanpa sebarang yuran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan KAP Untuk Golongan B40 dan Ibu Tunggal Siri 3, 2020 di Hotel Grand Riverview di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md. Nawi.

Kursus yang dianjurkan selama sebulan itu disertai seramai 90 peserta dari Kelantan,Terengganu dan Pahang.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran KAP, selain pelaksanaan kursus secara bermuka, ia juga dijalankan secara dalam talian untuk memudahkan penyertaan semua golongan.

Katanya, bagi yang terpilih, mereka juga boleh menjawab ujian untuk memperoleh sijil KAP sama ada secara dalam talian atau bersemuka.

“Kursus ini penting kepada mereka terutamanya golongan wanita sebelum bekerja atau membuka Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) kerana pelbagai aspek diajar terutamanya keselamatan dan bimbingan kanak-kanak.

“Selain kursus ini, kerajaan menerusi inisiatif Penjana telah memberikan bantuan secara terus sebanyak RM5,000 kepada Taska dan 1,500 Taska di rumah kepada pengusaha yang terjejas akibat Covid-19 baru-baru ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI