BENTONG – Penebangan hutan di puncak bukit berhampiran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk setempat dan pengguna lebuh raya berkenaan yang bimbang berlakunya tragedi tanah runtuh.
Orang ramai menyatakan kebimbangan kejadian tanah runtuh yang membawa lumpur pada 11 November 2015 di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak boleh berulang kembali.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, penebangan hutan yang dilakukan pihak terbabit di atas bukit berhampiran lebuh raya berkenaan amat membimbangkan.
“Saya terkejut apabila berlaku lagi penebangan hutan di kawasan ini yang tidak jauh daripada lokasi berlakunya tanah runtuh, saya bimbang tragedi tanah runtuh ini boleh berlaku lagi.
“Saya pergi ke kawasan berkenaan terkejut kerana terdapat kesan jalan balak malah terdapat longgokan kayu balak di situ selain kerja-kerja membersih hutan menggunakan jentera berat sedang dilakukan, saya harap ia mendapat perhatian pihak berkuasa,”katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan dilakukan pihaknya mendapati laluan jalan balak yang baharu, dibuat melalui hutan Lentang ke kawasan berkenaan serta terdapat papan tanda yang memaparkan maklumat pelesen.
“Saya memohon kepada pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri agar segera melihat perkara ini kerana ia boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya sekiranya berlaku tanah runtuh seperti sebelum ini,”katanya.
Dalam pada itu seorang penduduk Bentong, Azrul Rizuan,36 berkata, dia berasa terkejut apabila melihat gambar yang menunjukkan penerokaan hutan di atas bukit berhampiran kawasan lebuh raya berkenaan.
Dia yang sering berulang alik dari Bentong ke Kuala Lumpur atas urusan kerja melahirkan rasa bimbang sekiranya berlaku tanah runtuh akibat penebangan hutan berkenaan terutama pada musim hujan.
“Saya pelik macam mana mereka boleh buat kerja ini kerana ia amat berisiko, adakah mereka dapat kebenaran dan kenapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan segera, harap ia diberikan perhatian segera,”katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr. Hizamri Mohd Yassin ketika berhubungi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu dalam masa terdekat. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929