GEORGE TOWN – Tonggak pertahanan Penang FC, Abdul Latiff Suhaimi melahirkan kekecewaannya apabila tidak dapat beraksi sehingga tamat perlawanan akhir Liga Super 2021 menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Bandaraya di sini malam semalam.
Ini berikutan pemain kelahiran dari Kota Bharu, Kelantan itu telah dilayangkan kad merah pada minit ke-14, selepas menjatuhkan penyerang TFC, David Da Silva di dalam kotak penalti.
Pemain berusia 32 tahun itu turut melahirkan kedukaan setelah impiannya untuk beraksi dengan pasukan terbaik liga itu musnah.
“Saya mohon maaf pada seluruh penyokong Penang FC atas apa yang berlaku semalam. Rasa kecewa dan sedih pun ada sebab saya menanti perlawanan bersejarah buat kelab baharu itu.
“Saya sudah buat persiapan terbaik untuk perlawanan akhir yang dianggap paling bermakna buat diri saya. Ketika berkunjung ke Terengganu, kami berjaya membenam pasukan itu 4-1 dan nekad untuk kekal kemenangan.
“Apapun, saya berterima kasih kepada rakan pasukan kerana berjuang habis-habisan untuk berada di tempat ketiga liga musim ini termasuk kesungguhan gabungan pengurusan baharu dan lama serta jurulatih dan pemain yang begitu menakjubkan,” katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi.
Abdul Latiff berkata lagi, dia juga mengharapkan pencapaian terbaik dapat dipamerkan pasukan Penang FC ketika beraksi di Piala Malaysia nanti.
Malam semalam, Penang FC terikat 2-2 ketika menentang skuad Penyu sekali gus meletakkan pasukan tuan rumah di tempat ketiga musim ini selepas berjaya mengumpul 41 mata manakala TFC pula di tangga keempat dengan 38 mata. – K! ONLINE