fbpx

Bukan semua sekolah dibuka pada 3 Oktober – Radzi Jidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi Jidin.

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan menegaskan sesi pembelajaran bersemuka bermula 3 Oktober ini dibuat secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya memantau maklum balas orang ramai termasuk di media sosial dan melihat seolah-olah timbul salah faham bahawa semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada tarikh tersebut.

“Jadi saya hendak jelaskan secara umum yang maklumat mendalam itu telah kita perincikan dan boleh dirujuk dalam dokumen yang kita sertakan (dalam sidang akhbar) semalam,” katanya menerusi kenyataan berbentuk video di laman Facebook beliau malam ini.

Beliau turut mengingatkan sekali lagi bahawa tidak ada sekolah akan dibuka melibatkan negeri yang berada di Fasa 1.

Menurutnya, bagi negeri Fasa 2 hanya murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) akan kembali ke sekolah bagi kategori sekolah rendah.

Manakala bagi kategori sekolah menengah hanya murid Tingkatan 6 semester dua yang akan hadir kerana mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada akhir Oktober.

“Bagi negeri Fasa 3, selain SKPK dan PPKI, murid prasekolah akan dibenarkan hadir ke sekolah, manakala untuk sekolah menengah pula, ia melibatkan murid Tingkatan 5 dan calon STPM yang lain.

“Bagi negeri Fasa 4 bermula dua minggu pertama daripada 3 hingga 17 Oktober murid yang akan berada di sekolah sama seperti Fasa 3. Kemudian dari 17 hingga 31 Oktober, kita akan tambah untuk sekolah rendah, iaitu murid dari Tahun 1, 2 dan 3 yang bermula pada 17 Oktober.

“Kemudian pada akhir Oktober, murid Tahun 4, 5 dan 6 akan masuk untuk sekolah rendah di negeri Fasa 4 manakala bagi sekolah menengah negeri Fasa 4, kita akan masukkan pada dua minggu pertama bermula 3 hingga 17 Oktober yang akan masuk sama dengan pelajar Fasa 3.

“Selepas 17 Oktober, pelajar yang akan hadir ke sekolah dari Tingkatan 3 dan 4. Dua minggu selepas itu bermula 31 Oktober, pelajar Tingkatan 1 dan 2 pula akan hadir ke sekolah. Begitulah keadaannya,” jelasnya.

Radzi berkata, pembukaan secara berperingkat itu bagi memastikan pelajar dapat hadir ke sekolah dan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan selamat.

Katanya, kehadiran pelajar juga akan mengguna pakai kaedah penggiliran secara mingguan dengan kapasiti sebanyak 50 peratus di dalam kelas. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI