MUNICH – Bintang Bayern Munich, Thomas Muller tidak bersimpati dengan situasi Barcelona yang tidak lagi memiliki sentuhan Lionel Messi menjelang aksi kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Camp Nou awal pagi esok.
Penyerang berusia 31 tahun itu tetap mengambil serius pertemuan menentang The Catalan biarpun gergasi Sepanyol tersebut sudah tidak mempunyai magis Messi yang kini berhijrah menyertai Paris Saint-Germain musim ini.
Justeru, Muller bertekad untuk memastikan Bayern sekali lagi mencalarkan ego Barcelona seperti mana yang pernah dilakukan dengan kemenangan besar 8-2 ketika kali terakhir mereka bertemu pada edisi 2019/2020.
“Anda akan merasai satu motivasi baharu apabila menentang pasukan yang mempunyai Messi. Situasi itu sebenarnya membangkitkan semangat kami ketika kali terakhir menentang Barcelona.
“Namun, kali ini saya tidak dapat menilai kemampuan Barcelona kerana mereka seolah-olah satu pasukan yang berbeza tanpa Messi.
“Saya tidak pasti apa yang akan menanti kami di sana. Namun, ia tidak bermakna kami bimbang atau gementar, sebaliknya kami tetap bersemangat untuk mengulangi keputusan sama seperti sebelum ini,” katanya.
Sebagai rekod, Muller berjaya menjaringkan dua gol sewaktu Bayern membelasah Barcelona 8-2 untuk mencatat kemenangan agregat 11-4 dan meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya sehingga bergelar juara edisi tersebut.
Bayern ketika ini dilihat berada pada tahap terbaik selepas membelasah pencabar terkuat mereka di Jerman, Red Bull Leipzig 4-1 dalam saingan Bundesliga kelmarin. – AGENSI