fbpx

Sokong buka sekolah, tapi hati tetap risau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membuka semula sekolah secara berperingkat mengikut fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) disambut dengan reaksi yang berbeza-beza dalam kalangan ibu bapa.

Ramai ibu bapa menyokong keputusan tersebut bagi mena­ngani masalah keciciran murid yang tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara berkesan.

Bagaimanapun, ada antara ibu bapa yang berasa berbelah bahagi untuk melepaskan anak-anak ke sekolah ekoran kes harian jangkitan Covid-19 masih tinggi.

Seorang arkitek, Mohd. Hisham Ibrahim, 47, berkata, dia bersedia menghantar tiga anaknya yang berada di tahun tiga, enam dan tingkatan lima kembali ke sekolah setelah sekian lama mengikuti sesi PdPR.

Baginya, sesi pembelajaran secara bersemuka lebih efektif berbanding PdPR.

“Tiga anak saya bersekolah swasta dan saya yakin pengurusan sekolah telah membuat persiapan rapi untuk menyambut ketibaan murid nanti mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Lagipun kita terpaksa dan sudah pun hidup bersama Covid-19. Saya akui setiap hari kes masih tinggi, tetapi pada pandangan saya, kita harus percaya kepada proses ke arah kebaikan,” kata bapa kepada lima anak itu ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Turut bersetuju dengan pembukaan sekolah, Julizah Hasli, 41, dari Cheras, Kuala Lumpur yang berpendapat, kehadiran murid di sekolah hanya 50 peratus akan memudahkan guru memantau pergerakan mereka.

“Saya lihat anak perempuan saya tingkatan lima lebih gembira belajar secara bersemuka. Jika belajar di rumah, saya hendak bantu pun tidak begitu faham dan saya perlu pantau dua orang lagi anak mengikuti PdPR.

“Lagipun dia sudah banyak ketinggalan sewaktu tingkatan empat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan awal tahun ini, dia masuk agak lewat ke sekolah kerana jadi kontak rapat pada rakannya yang positif Covid-19,” ujarnya.

Bagi Nurfadzilah Mustafa Kamal, 37, dari Subang Jaya pula, secara peribadinya dia berharap KPM menangguhkan pembukaan sekolah kerana silibus yang dipelajari pelajar akan hampir tamat dalam tempoh tiga hingga empat minggu lagi.

Bagaimanapun, dia akan menghantar dua anaknya yang berada di tingkatan empat dan dan seorang lagi yang anak berusia tujuh tahun kembali ke sekolah jika tiada penangguhan.

“Kerisauan tetap ada, tetapi jika begitu keputusan kerajaan, saya akur dan berserah. Memang tiada paksaan kepada ibu bapa, namun saya fikir kalau anak orang lain hadir dan anak saya pula tidak hadir, saya takut mereka akan ketinggalan,” katanya.

Suri rumah itu turut meluahkan rasa lega kerana ibu bapa yang memutuskan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah tidak dianggap telah mela­kukan kesalahan disiplin.

Seorang peguam, Zambri Mohd. Isa, 42, berkata, tiga anaknya yang bersekolah rendah dan menengah meluahkan rasa gembira dan teruja apabila berpeluang kembali ke sekolah di kawasan Gombak, Selangor untuk bertemu guru dan rakan-rakan mereka.

“Saya faham mereka sudah lama terperap di rumah, tetapi pada masa sama, kami sebagai ibu bapa tetap khuatir dengan keselamatan anak-anak,” ujar­nya.

Kosmo! semalam melaporkan KPM akan melaksanakan sistem penggiliran apabila sekolah dibuka semula secara berperingkat mulai 3 Oktober depan mengikut fasa PPN.

Sistem penggiliran itu akan menyaksikan kehadiran murid hanya 50 peratus daripada enrolmen keseluruhan bagi sesebuah sekolah yang dibahagikan kepada dua kumpulan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI