fbpx

Gubahan coklat dan bunga Kak Zai pilihan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CENDERAMATA gubahan bunga bersama coklat seperti ini yang dijual pada harga berpatutan menjadi antara elemen keutamaan Zaharah dalam menarik pelanggan ke kedainya yang terletak di Pangsapuri Tasek, Bandar Seri Alam, Johor Bahru.

Menarik dan kreatif. Itu yang bermain dalam benak penulis apabila melihat gubahan hantaran, hamper, bunga dan coklat yang dihasilkan Zaharah Abas, 52.

Lebih mesra disapa sebagai Kak Zai, wanita gigih ini mengakui, idea untuk berjinak-jinak dalam perniagaan itu timbul apabila menghadiri majlis konvokesyen anak ketiganya di sebuah institusi pengajian tinggi di utara tanah air lapan tahun lalu.

Jelas ibu kepada empat anak itu, dia terkejut apabila melihat pelbagai gubahan jambangan bunga dan coklat yang dijual dengan harga mahal pada majlis berkenaan.

Sejak itu, Zaharah bertekad untuk menghasilkan gubahan pada harga lebih murah dan menarik.

“Saya memang terkejut apabila melihat harga setiap jambangan bunga dan coklat yang dijual itu. Bagi saya, harga yang dijual terlalu mahal dan tidak setanding dengan kos sebenar. Malah, cara gubahannya juga kelihatan ala kadar.

“Memandangkan amat meminati bidang gubahan, saya ambil keputusan untuk menggubah sendiri jambangan bunga dan coklat untuk dihadiahkan kepada anak pada majlis tersebut. Gubahan saya itu turut disukai oleh rakan-rakan anak saya.

“Sejak itu, saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan ini kerana pembeli berhak mendapatkan hasil yang sesuai dengan harga ditawarkan,” katanya ketika ditemui K2 di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Pada masa sama, Zaharah berkata, dia juga sering membuat gubahan hantaran membabitkan ahli keluarga yang ingin mendirikan rumah tangga hingga timbul idea menyediakan khidmat sewa gubahan hantaran.

Selepas menjalankan perniagaan tersebut selama beberapa tahun, Zaharah akhirnya membuat keputusan membuka sebuah kedai yang diberi nama Nadieya Nasir Collection terletak di Pangsapuri Tasek, Bandar Seri Alam, Johor Bahru untuk menjual gubahan hantaran, bunga, coklat dan sebagainya.

Mula membuka kedai tersebut kira-kira empat tahun lalu, Zaharah menyatakan banyak cabaran yang diharunginya.

Demi memberi sepenuh tumpuan terhadap Zaharah bahkan nekad untuk berhenti kerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap perniagaannya itu.

ANTARA gubahan bunga menggunakan wang kertas hasil kreativiti Zaharah.

Meskipun pada awalnya berdepan pelbagai rintangan, namun Zaharah kini mampu berbangga apabila kedainya sentiasa dikunjungi pelanggan, terutamanya apabila tiba musim perayaan tertentu.

“Saya rasa lebih tenang kerana melakukan perkara yang diminati selain pendapatan lumayan,” katanya sambil memberitahu dia menerima tempahan pelbagai jenis hamper, gubahan bunga dan coklat mahupun hantaran mengikut bajet dan tema dikehendaki pelanggan.

Dalam masa sama, dia sentiasa mengambil kira pandangan dan kehendak pelanggan.

Ini kerana, dia berpegang kepada prinsip bahawa kepuasan pelanggan merupakan keutamaan baginya.

“Saya ada menyediakan gubahan bunga berserta coklat serendah RM5 dan kebiasaannya dibeli para pelajar terutama menjelang Hari Guru dan Hari Ibu.

“Saya faham, pelajar tidak mampu membeli jambangan bunga atau coklat yang mahal, tetapi mereka tetap mempunyai keinginan menghadiahkan sesuatu untuk guru dan ibu bapa.

“Saya puas apabila dapat melihat wajah ceria pembeli atau penerima hadiah,” katanya.

Tempahan diterima termasuk gubahan hantaran, cenderahati, hamper, jambangan coklat, jambangan bunga, katering, pelamin mini dan sewaan busana pengantin.

Harga yang ditawarkan bermula dari RM5 hingga RM700 bergantung jenis gubahan dan bahan digunakan.

Dalam memenuhi cita rasa dan sesuai dengan bajet yang ada, seorang pelanggan dikenali sebagai Ezati, 29, mengakui lebih selesa berurusan dengan Zaharah apabila ingin mendapatkan gubahan bunga dan hamper untuk dihadiahkan kepada insan tersayang.

“Meskipun banyak perkhidmatan serupa yang boleh didapati di internet, namun berurusan dengan Zaharah memang lebih mudah selain gubahan yang dihasilkan menepati cita rasa saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI