JAKARTA – Seorang lelaki dikecam netizen kerana membuat perbandingan keadaan fizikal isterinya semasa sebelum dan selepas mereka berkahwin, malah menganggap wanita itu kini tidak cantik, lapor laman berita Suara.com kelmarin.
Lelaki bernama Irvhan Chandra itu menerusi satu hantaran di akaun TikTok, memaparkan gambar isterinya ketika mereka sedang bercinta dengan keadaan bentuk badannya yang langsing dan berkulit gebu.
Penampilannya juga kelihatan menarik serta sedang tertawa manis.
Bagaimanapun, selepas mereka berkahwin, lelaki itu berkata, isterinya semakin gempal terutamanya ketika hamil.
“Semakin berusia, kelihatan tidak cantik,” tulis lelaki tersebut pada keterangan video itu.
Hantaran tersebut mendapat kritikan hebat daripada netizen dengan ramai yang marah membaca kenyataan lelaki itu yang menggunakan perkataan tidak cantik (jelek) terhadap isterinya.
“Sebelum berkahwin, isteri kamu cantik kerana dia dijaga oleh ibu bapanya. Selepas berkahwin, terpulang kepada bagaimana seorang suami melayan isterinya,” tulis seorang netizen.
“Kalau begitu, jangan dibiarkan dia mengandung. Biar sahaja dia tetap cantik, jangan punyai anak supaya dia kekal langsing. Jika sudah mempunyai anak, nanti tidak sempat bersolek. Jadi, jangan punyai anak,” sindir seorang pengguna. – Agensi