fbpx

Tatacara prosiding reman diperkemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA –  Bermula Rabu ini, tatacara permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) di seluruh negara diperkemas antaranya dengan memberi peluang kepada orang yang disyaki (OYDS) diwakili peguam pada prosiding tersebut.

Selain itu, pengendalian prosiding perlu ditangguhkan kepada suatu masa yang munasabah pada hari yang sama bagi membolehkan peguam yang telah dihubungi, hadir mewakili anak guamnya termasuk pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

Bagaimanapun, permohonan reman akan diteruskan jika OYDS tidak berhasrat diwakili peguam atau tiada peguam hadir dalam tempoh yang ditetapkan.

Garis panduan pengendalian prosiding reman di bawah Seksyen 117 itu dikeluarkan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada 10 September lalu.

Arahan Amalan Bilangan 11 Tahun 2021 itu diperkemas dan diseragamkan di seluruh negara dan dikendalikan oleh majistret atau majistret ex-officio.

Arahan amalan itu turut menyatakan, sebelum permohonan reman didengar, pegawai penyiasat perlu memastikan dokumen-dokumen termasuk salinan diari siasatan lengkap difailkan melalui sistem e-Kehakiman sebelum mengemukakan OYDS di hadapan majistret.

Menurut arahan itu, OYDS diminta mengesahkan kepada majistret bahawa dia telah diberi peluang menghubungi peguamnya dan jika belum melantik peguam, hasrat itu telah dinyatakan.

Majistret perlu memastikan hak OYDS untuk mendapatkan khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaaan (YBGK) jika memenuhi syarat-syarat termasuk seorang warganegara Malaysia dan tidak disiasat di bawah undang-undang pencegahan, penculikan dan melarikan orang.

Arahan itu juga menyatakan, pegawai polis perlu memastikan peguam yang dilantik oleh OYDS sama ada peguam lantikan sendiri atau menggunakan khidmat YBGK, telah dihubungi dan dimaklumkan supaya hadir pada prosiding tersebut.

Menurut kenyataan itu, ketika permohonan dikemukakan, pegawai polis perlu memaklumkan status permohonan reman sama ada permohonan baharu atau lanjutan manakala OYDS dikehendaki memberitahu layanan terhadapnya dan keadaan kesihatan ketika dalam tahanan.

“Pegawai penyiasat polis perlu memastikan OYDS dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan sewajarnya jika majistret mendapatinya memerlukan rawatan,” ujar kenyataan tersebut.

Amalan itu turut mengeluarkan garis panduan jika ketiadaan majistret dalam prosiding reman bagi kes-kes hukuman mati, hukuman penjara melebihi 14 tahun, kes-kes berprofil tinggi, berkepentingan awam dan kes-kes di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, prosiding reman akan dikendalikan majistret ex-officio.

Ekoran arahan terbaharu itu, dua arahan terdahulu berkaitan prosedur reman di bawah Seksyen 117 yang dikeluarkan pada 2003 dan 2012, dibatalkan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI