ALOR SETAR – Polis Kedah berjaya mematahkan cubaan sindiket untuk memasarkan kira-kira 40 ketulan mampat dadah jenis heroin base seberat lebih 15 kilogram (kg) yang dipercayai diseludup dari Thailand untuk dipasarkan ke selatan negara ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan heroin base serta 114 pil kuda seberat 12 gram yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta itu dilakukan selepas pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di tepi Jalan Kampung Changhai, Changlun dekat sini kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lalu.
“Pemeriksaan mendapati ketulan mampat dadah heroin base berwarna putih dibalut dengan plastik lut sinar serta kertas minyak berwarna coklat ditemui di dalam bonet kereta jenis Toyota Corolla yang dipandu suspek.
“Selain itu, kita juga menemui 114 pil kuda berwarna merah dan hijau yang kesemuanya bertulis WY di tempat sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Ujarnya, susulan penahanan suspek yang bekerja sebagai juruwayar itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK kemudiannya menahan seorang pemandu lori berusia 37 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket sama di Kampung Padang, Mukim Temin dekat Changlun kira-kira tiga jam kemudian. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929