MELAKA – Padah membuat hantaran komen menghina institusi raja dan agama Islam di laman sosial Facebook, seorang sukarelawan di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) rumah ibadat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Prajiv Lionel Proctor, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan akaun Facebook miliknya “Lionel Proctor” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik iaitu “Eeewww….. siapa nak hormat raja2kau yg bertaraf mcm ketua kampung jer dan agama kau yang diasaskan bangsa penunggang unta dari padang pasir”.
Ia dilakukan dengan niat untuk menganiayai orang lain, yang telah dibaca di laman profil Facebook “Bantal Busuk“ kira-kira pukul 1 tengah hari di KM4 Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Disember 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama.
Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1, 000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N.Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan mengambil kira kesalahan tertuduh adalah serius kerana membabitkan penghinaan ke atas institusi raja dan agama negara.
Peguam Tan Show Teng yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan serendah RM3,000 diberikan dengan alasan anak guamnya itu sedang menjalani rawatan penyakit kanser tiroid dan menghidap Obsessive Kompulsif (OCD) serta Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).
Tertuduh juga dikatakan tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya bekerja sebagai sukarelawan di sebuah NGO rumah ibadat di negeri ini.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 17 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929